Wednesday 14 August 2013

Maafkan Haris ..

Pagi itu, tidurku rasa terganggu tatkala terdengar bunyi batuk dari bilik sebelah. Ibu, bisik hatiku. Aku sedikit geram dan marah kerana menganggu mimpi indahku bersama kekasih hati. Aku mendengus dengan kuat lalu bingkas bangun untuk mandi. Setelah selesai mandi dan mengenakan pakaian sekolah, aku segera ke meja makan untuk sarapan. Kosong! Aku menggigil kerana menahan amarah yang mula membakar diriku. Aku memanggil nama ibu dengan kuat sekali. Dapat kuperhatikan ibu tergesa-gesa keluar dari bilik sambil mengurut-urut dadanya perlahan. Ibu seakan-akan terkejut mendengar suaraku yang nyaring memanggilnya namun aku tidak sedikit pun berasa kasihan malah tanpa rasa berdosa aku menengking ibu.

“Ibu, mana sarapan Haris? Ibu tahu kan sekarang ni dah pukul berapa?” aku memandang ibu dengan pandangan yang tajam.

“Ibu minta maaf Ris, ibu sakitlah Ris. Ibu tak larat nak masak pagi ni. Ris makan jela apa yang ada kat dapur tu ya?” jawab ibu lembut. Tanpa mempedulikan kata-kata ibu, aku terus masuk ke dalam bilik semula untuk mengambil beg sekolah. Keluar sahaja aku dari bilik itu, aku segera meminta duit daripada ibu. Dengan suara yang sedikit bergetar ibu menjawab,

“ibu tak ada duit lagi la Ris. Dah tiga hari ibu tak pergi kerja sebab tak berapa sihat. Hari ini Ris tak payah belanja dulu eh?” Ternyata jawapan ibu membuatku terus melenting. “Itu la ibu! Ada laki, tak pandai jaga.

Sekarang, ibu tengok. Hidup Ris yang susah!” Aku terus berlalu dari situ tanpa mempedulikan ibu yang sudah mula teresak-esak menangis. Barangkali terasa dengan kata-kataku.

Balik sahaja dari sekolah, aku tidak mempedulikan ibu yang sudah menyambut kedatanganku dengan penuh mesra. Dapat ku lihat wajah ibu sedikit terkilan akan sikapku. Aku tidak mempedulikan ibu.

Namun jelas di bibir ibu tidak pernah lekang dengan senyuman tidak kira bagaimana pun aku memperlakukannya. Sejak kebelakangan ini, tidurku asyik terganggu gara-gara batuk ibu yang semakin teruk. Aku bingkas bangun dan segera masuk ke dalam bilik ibu tanpa mengetuk pintumahupun memberi salam. 

Ibu menyambut kedatanganku dengan senyuman. Senyuman ibu tidak mampu menyejukkan hatiku yang marah akibat tidurku terganggu dan tanpa sedar aku meluahkan kata-kata yang diluar jangkaan.

“Lebih baik ibu mati je. Hidup macam ni menyusahkan orang je. Nak tidur pun susah!” kataku separuh menjerit. Selesai sahaja aku mengungkapkan kata-kata itu, aku menghempas daun pintu bilik ibu dengan kuat.

Pagi itu aku bangun sedikit lewat kerana tidak dapat tidur dengan lena. Aku segera pergi ke sekolah tanpa memberitahu ibu. Sejak kebelakangan ini, aku sering dimarahi oleh guru kerana mengantuk di dalam kelas.

Seratus peratus aku menyalahkan ibu dalam hal ini. Tiba-tiba mataku tertancap pada tarikh 13 Februari. Tarikh hari jadiku. Tinggal seminggu je lagi. Aku mendengus kasar. Bukan ada apa-apa pun pada hari jadiku nanti. Yang ada cuma nasi berlaukkan ikan masin dan sayur pucuk paku. Aku mendengus. Balik sahaja aku ke rumah, Ibu tiada di rumah. Aku pun malas untuk memikirkan di mana ibu. Tidak penting bagiku. Yang penting sekarang, perutku sudah lapar dan minta untuk di isi.

Seminggu berlalu dan hari ini merupakan hari jadiku yang ke 17 tahun. Aku sedikit malas untuk bangun pagi ini. Dapat ku lihat wajah ibu begitu ceria mengucapkan selamat hari jadi buatku pagi itu. Aku mengelak sedikit ketika ibu ingin mencium dahi dan pipiku. Aku pergi ke sekolah seperti biasa. Tiada apa-apa yang menarik bagiku hari ini. Sungguh membosankan. Sebaik sahaja tamat waktu persekolahan, aku tidak segera balik ke rumah tetapi aku pergi ke Bandar untuk menghiburkan hatiku. aku berjoli dengan teman-temanku kerana mereka sudah berjanji untuk meraikan hari jadiku.

Aku balik agak lewat hari itu. 5 minit lagi pukul sepuluh malam aku lihat perkarangan rumahku terang-benderang. Orang ramai berada di rumahku. Aku berdebar-debar. Aku kaku sebaik sahaja melihat sekujur tubuh yang kaku terbaring di ruang tamu. Aku memberanikan diri untuk membuka kain yang menutup wajah jenazah itu. Tanganku terketar-ketar pabila melihat orang itu adalah ibu!

Aku meraung sekuat hati dan cuba untuk menggerak-gerakkan badan ibu supaya ibu bangun. Segelintir tetamu yang hadir mengesat airmata melihat situasi itu. Pak Ngah segera mendekatiku dan memelukku serta meminta aku untuk bersabar. Tiba-tiba aku lihat Mak Ngah datang ke arahku dan membawakan sebiji kek yang tertulis namaku.

“Ibu Haris sendiri yang buat kek ini pagi tadi. Ibu Haris lama tunggu Haris tapi Haris tak datang- datang. Tak sangka pulak dalam dia menunggu Haris, penyakitnya datang menyerang. Tapi Ibu haris sempat tinggalkan nota ni sebelum dia hembuskan nafas terakhir petang tadi. Merata-rata kami cari Haris tapi Haris tak jumpa.”

Kata Mak Ngah sayu. Tangisanku semkain nyaring tatkala melihat kek itu. Tanganku segera mencapai nota yang dimaksudkan oleh Mak Ngah lalu membacanya.

Anakku,

Tahun ini, ibu dah buatkan kek yang Haris impikan itu. Ibu tahu, sepanjang hidup Haris, Haris tak pernah meraikan hari jadi Haris. Salah ibu juga. Ibu betul-betul tak mampu Haris. Ibu sedar, ibu tak layak jadi ibu yang baik buat Haris. Walaupun sakit, ibu gagahkan juga diri untuk bekerja agar dapat buat sendiri kek ni untuk Haris. Cantik kan Haris? Khas untuk Haris. Haris, ibu tak kisah Haris nak layan ibu macam mana tapi ibu nak Haris tahu, Ibu sayangkan anak ibu ni sangat-sangat. Doa Haris pagi tu, mungkin akan jadi kenyataan. Ibu akan pergi dan tak akan susahkan Haris lagi. Tak akan ganggu tidur malam Haris lagi. Haris jaga diri ya nak? Ibu sayang Haris.. Selesai membaca nota itu, aku meraung sekuat hati lalu rebah tidak sedarkan diri. Ternyata aku terlalu banyak dosa kepada ibu. Sakit kanser paru-paru yang dihidapi ibu sudah masuk ke peringkat akhir. Kenapa aku tidak menyedarinya? Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Malam berikutnya, aku tidak dapt tidur. Aku rindukan suara batuk ibu. Aku rindukan senyuman ibu. Aku rindukan ciuman ibu di pipiku. Sungguh aku terlalu merindui ibu. Yang aku kesalkan, kenapa aku tergamak mendoakan supaya ibu cepat pergi. Terlalu banyak dosaku terhadap ibu. ‘Ya Allah, kau ampunilah dosaku dan Kau tempatkanlah ibu di tempat orang yang solehah. Aku sayang ibu. Maafkan Haris, ibu.’ Akhirnya aku tertidur sambil mendakap kemas baju terakhir yang ibu pakai sebelum dia meninggal dunia.

No comments:

Post a Comment